Friday, September 21, 2012

Dari Dia kita datang...

Dari Dia kita datang...

Mengiringimu ke hujung sempadan
Menatap jasadmu yang berbungkus
Kain kapan berwarna putih
Dibawa turun perlahan-lahan
Ke liang lahat di situ kamu bersemadi.

Sekujur tubuhmu berbaring kaku
Di dasar liang yang sempit
Hanya di sini penghantaranku
Berpisah kita buat sementara
Bertemu kita kelak di sana.

Dari Dia kita datang
Kepada Dia kembali kita
Bekal apa yang mahu dikumpul
Tentunya bukan emas perak segala
Melainkan iman dan amal yang ikhlas.

Monday, September 10, 2012


Wahai saudara seagamaku
Walau jauh kamu berada nun di sana
Gaza, Syria, Rohingya atau di mana-mana sahaja
Namun suara dan tangismu kami dengari

Telinga kami masih mendengar
Mata kami masih boleh melihat
Hati kami turut merintih menangisi
Setiap apa yang diperlaku ke atasmu

Kami menadah berdoa
Bersama seluruh makhluk Tuhan
Yang berada di langit, di bumi
Dan di antaranya

Moga kalian dikukuhkan iman
Terus dibakar semangat berani
Bibir-bibir terus basah menyebut
Asmaul Husa-Nya

Berat mata memandang
Berat lagi bahu kalian yang menggalas
Berat hati kami merintih
Berat lagi hati kalian meratap....

Saturday, April 9, 2011

Toleh kanan


Toleh ke kanan
Lirik ke kiri
Pandang ke hadapan
Pusing ke belakang
Tunduk ke bawah
Dongak ke atas

Tarik nafas dalam-dalam
Sebatikan dengan isi diri
Pendamkan seketika
Hanya seketika
Bersama pejamkan
Sepasang mata itu

Hembuslah perlahan-lahan
Biar keluar segala
Yang tidak perlu
Dari dalam bekas diri
Hanya bersih bercahaya
Yang tinggal

Bukalah sepasang mata itu
Kembali menoleh dan melirik
Melihat dan memandang
Betapa kita di kelilingi
Oleh ramai yang menyayangi
Dan yang mahu disayangi...

Friday, November 5, 2010

Alam...

Alam,
Izinkan aku seketika bersama
Turut serta dalam kumpulan
Segala tumbuhan tegap melata
Walau kita berlainan
Namun tetap kita hamba Tuhan.

Alam,
Terus kita memuji dan mengagong
Bersama bisik syukur
Mana mungkin aku berada di sini
Tanpa limpahan nikmat
DariMu Tuhan.

Alam,
Terima kasih daun keladi
Aku terpaksa berundur diri
Ada tugas sedang menanti
Sampai masa ketemu lagi...

Monday, May 31, 2010

Siapa kamu?

Mereka menyekat laluan
Mereka menyekat komunikasi
Sesuka hatinya mereka memperlakukan
Mereka sangka kita ini siapa?

Berbagai jenis makhluk dicipta Tuhan
Segala yang di langit, di bumi dan di antaranya
Menyata sujud kepada Pencipta
Namun segelintir spesis kelompok manusia
Masih angkuh mendabik dada

Kejahatan yang mengatasi setiap kejahatan
Kezaliman yang mengatasi setiap kezaliman
Sehingga mengecutkan hati segelintir insan
Namun tak kurang yang terus terbakar
Oleh semangat jihad fisabilillah

Ayuh! Bangunlah sekalian ummat
Usah puas dengan ratap dan linangan air mata
Perbanyakkan doa dan salam perjuangan
Pasti insan teraniaya mendapat khabaran.

Mereka menyekat segala,
Namun mereka tidak sedar kita terus berhubung
Menerusi talian komunikasi yang tidak dapat lihat
Tidak dapat rasai, tidak dapat menekanya

Kerana hati mereka sudah membeku, hati mereka sudah mengeras
Lebih keras daripada batu-batu di gurun sahara,
Lebih beku daripada kiub ais di kutub selatan
Semuanya tidak lagi mampu berbekas.

Tunggulah datangnya suatu saat
Pabila seluruh makhluk dari setiap penjuru alam
Bersiap siaga dan hanya menunggu arahan
Izin tempur daripada Yang Maha Agung.

Tika itu ketahuilah, di bumi mana kamu tumpangi
Di langit mana kamu bumbungi
Betapa sebenarnya kamu hanyalah
Makhluk merempat tidak sedar diri.


Tuesday, May 18, 2010

Melebur dalam cinta abadi

Di laman Rumah-Mu kami bergabung
Melebur dalam cinta abadi
Cahaya Rabbani mula menerangi
Insan-insan datang menyerah diri
Bersama sekeping hati yang mahu disuci
Ampunkanlah kami wahai Yang Maha Pengampun
Terimalah kami sebagai hamba-Mu...

Thursday, May 6, 2010

Bunga Kaum Quraisy


Bunga Kaum Quraisy kembang berseri
Di sebalik tembok mekar mewangi
Menebar harum ke pelusuk negeri
Membuat teruna dibuai mimpi
(Petikan daripada novel Aminah Bunga Kaum Quraisy)