Tuesday, June 5, 2007

Nenda ez

Pulang ke kampung halaman minggu lepas, bertemu sanak saudara kaum kerabat. Terubat rindu menatap wajah ibu yang semakin dimamah usia. Namun masih mampu mengukir senyum di bibir keringnya menyambut kepulangan kami....

Betapa ku rangkul sekujur jasad lemah ibu
Bersama genangan pilu
Lemahnya ibu tidak berdaya
Mengatur langkah walau setapak

Oh Tuhan yang Maha Mendengar
Inilah ibu yang melahirkanku
Membesar dan mendidikku
Kasihanilah ibu, sejahterakanlah dia...

Pulang kampung kali ini juga saya dianugerah dengan satu gelaran. NENDA gelarannya! Hmm nampaknya mulai hari ini seharusnya saya dipanggil dengan gelaran itu sebagai tanda menghormati anugerah gelaran yang diberi oleh orang yang memberi. Jika tidak apa gunanya gelaran itu diberi sekiranya tidak digunakan(hehehe berbelit-belit). Gelaran nenda ez itu sempena sepupu saya mendapat cucu.

Sesuatu yang amat bermakna di hari genapnya usia ke 45 di 1hb jun itu. Bertambah usia ibarat berada di waktu senja kini. Merenung wajah dada langit di ufuk barat yang kemerahan berbalang-balang kesuraman melepaskan mentari pergi dan kembali berseri-seri ia menyambut kedatangan malam yang bergemerlapan dengan kerlipan bintang-bintang mengelilingi bulan terang. Indah itu sentiasa berada di mana-mana...selagi hati dekat kepadaNya.

Masih banyak yang ingin dilakukan dan tidak perlu membuat alasan itu dan ini bagi menangguhkannya. Masa semakin singkat!

Ya Tuhan! Limpahi rahmatMu ke atas hambaMu ini...


No comments: