
Sebelum datang, abah menelefon minta belikan terubuk. Hendak makan sepuas-puasnya masakanku. Aku sambut dengan gelak dan membalas 'beres!'
5 ekor terubuk siap menanti. Hari pertama aku bakar 3 ekor siap dengan pencicah. Abah ratah tengah hari itu. Malam diratahnya lagi. Esok aku bakar lagi 2 ekor. "Wah! sedapnya terubuk bakar panas-panas begini!...", kata abah.
Belum tengah hari kami sudah menikmati hidangan tengah hari. Terubuk bakar cicah air asam yang menjadi tumpuan. Lauk lain langsung tak terusik.
Begitulah seterusnya. Suamiku beli lagi terubuk. Aku bakar lagi. Abah ketawa dilayan begitu. "Sendawa abah pun berbau terubuk... ha ha ha!"
"Rezeki jangan ditolak!"
"Lain rasanya masakan anak abah seorang ini. Sebab itulah selera terbuka sentiasa!" puji abah berjela-jela. "Ya...selepas ini tidak berpeluang lagi menikmati hidangan begini."
Aku mengerling ke arah abah. "Mengapa cakap begitu? Bukankah lain kali datang boleh makan lagi!"
"Sebab takkan boleh ke mari selalu."
Ketika abah bersiap-siap pulang ke kampung, aku merenung sayu wajah abah. Entah mengapa terasa hati begitu sebak. Ibu sibuk berkemas.
"Tolong berikan saya sehelai kain pelikat abah itu."
"Untuk apa?"
"Buat kain solat."
"Gunalah kain pelikat baru."
"Gunalah kain pelikat baru."
"Tak mahu! Hendak kain pelikat abah juga!"
"Tidak habis-habis dengan perangai manja dan mengada-ngadanya!" usik ibu. "Sudah jadi isteri, anak-anak sudah besar panjang pun masih berperangai tak cukup sepuluh sen lagi?"
Abah ketawa geli hati. "Ambillah!"
Aku tersenyum. Kain pelikat abah aku gantikan dengan sehelai kain pelikat baru.
Selepas seminggu abah pulang ke kampung, pagi ahad itu aku serba tidak kena. Entah kenapa. Ketika makan tengah hari tekak aku terasa tersekat tidak upaya menelan lalu aku berhenti dan duduk termenung. Telefon berdering...
"Innalillahiwainnailaihirojiuun...." Abah pergi untuk selamanya...
Kini setahun sudah pemergian abah. Bagaimana keadaan abah di sana?
"Oh Tuhan! Dialah abahku yang merawat tika sakitku, menyalakan api memanaskan diriku tika musim tengkujuh, berjaga malam setiap kali aku dikejarkan ke rumah sakit..."
"Ya Tuhan! Kasihanilah abahku. Berikanlah dia tempat di kalangan hamba-hamba kesayanganMu."
Sehelai kain pelikat
Kenangan sebuah memori
Bicara akhirku bersama abah
Tika ku pinta sehelai pelikat
Kain pelikat milik abah....
Sehingga kini, terubuk bakar masih belum mampuku sentuh lagi. Kenangan abah meratah terubuk bakar mengusik hatiku. Oh abah...
3 comments:
salam ez..tersentuh ati jun baca cite ni...lama x jenguk ayah kat kg walaupun x jauh mana..disebabkan menguruskan hal2 duniawi ni yer...hmm, ntahler...kdg2 benar juga kata org, sesuatu itu lebih dihargai bila dah x de..tp kita selalu lupe...
semuga ez tabah selalu...
semuga aruah tenang disana..aminn
Salam EZ.
Ayah saya juga telah meninggal dunia. Banyak juga kenangan manis dengan dia. Apa yang mampu kita lakukan berdoa untuk dia semoga mendapat rahmatNYA.
Salam Jun dan Pak Latip,
Tanpa mereka siapalah kita...(teringat lagu Sudirman, ayah dan ibu...)
Post a Comment